
Semangat yang tinggi untuk berlatih menulis
Dalam sehari berapa lama pelajar menulis? Baiklah, saya silap memberikan soalan, dalam seminggu berapa kalikah pelajar menulis? Sekali? dua kali atau lebih daripada empat kali? Menulis sama juga seperti kemahiran yang lain harus dilakukan berulang kali untuk mencapi satu tahap kelancaran yang tertentu. Pelajar harus menulis sepanjang masa. Mungkin menulis boleh dimulakan dengan sekali seminggu atau mungkin 30 minit setiap hari kemudian ditambah sehingga menjadi 40 minit setiap hari.
Semangat yang tinggi untuk menulis biasanya akan dijelmakan dalam bentuk kekerapan pelajar melakukan aktiviti menulis. Biasanya kalau pelajar itu tidak boleh menulis, saya sudah mampu jangkakan bahawa dia tidak suka menulis dan tidak banyak menghabiskan masa dengan menulis. Bukan sahaja menulis dalam bentuk karangan tetapi dalam apa-apa bentuk sekali pun. Pelajar masih tidak mengerti bahawa untuk menulis anda harus menulis. Setakat menghafal fakta karangan tidak akan membawa anda kemana-mana dalam penulisan. Bayangkan anda membaca buku panduan tentang cara-cara belajar menaiki motosikal tetapi anda tidak pernah menaiki motosikal. Adakah anda yakin anda boleh terus menunggang motosikal dengan hanya membaca buku panduan itu sahaja?
Semakin lama pelajar menulis semakin mahir mereka akan kelebihan dan kekurangan pelajar dalam sesuatu penulisan itu. Kefahaman tentang kelebihan dan kekurangan ini akan menjadikan teknik penulisan pelajar lebih mengkhusus dan baik. Manusia belajar tentang sesuatu perkara menerusi kekerapan mereka melakukan proses yang menghasilkan perkara tersebut. Kadangkala konsep ini dikaitkan dengan latihan yakni semakin banyak latihan dibuat seseorang itu akan menjadi lebih biasa dan mampu melakukan perkara tersebut dengan lebih baik lagi.
Pelajar yang boleh menulis biasanya ialah pelajar yang sanggup menghabiskan masanya menulis. Pada peringkat awal mungkin mereka hanya mampu menulis selama sepuluh minit tetapi lama kelamaan menjadi 20 minit dan seterusnya mungkin 40 minit. Semakin lama mereka menulis semakin mahirlah mereka untuk menghasilkan apa-apa bentuk penulisan tidak termasuk karangan sahaja. Bayangkan jika pelajar semua sanggup dan berlatih dengan baik.
0 comments:
Post a Comment