Friday, February 19, 2010

Karangan 4 ...Impak Pengambilan Gula Terhadap Manusia


Karangan 4

Gula sememangnya banyak memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pengambilan gula yang berlebihan dapat mengundang pelbagai masalah kesihatan yang kronik kepada manusia. Jelaskan.


Badan kita memang memerlukan gula untuk memastikan semua fungsi badan berjalan dengan lancar. Cuma pengambilan gula secara berlebihan boleh membawa pelbagai masalah kepada seseorang itu terutamanya untuk jangka masa panjang. Mereka yang tidak mengawal pengambilan gula akan menderita penyakit yang kronik lalu mampu menganggu kualiti kehidupan mereka pula.

Sebenarnya gula memang ada manfaat dalam industri makanan dunia. Makanan yang mengandungi gula lebih tahan lama ketika disimpan selain menambahkan lagi rasa manis dan sedapnya. Kita sering menilai nilai sesuatu makanan itu berdasarkan kandungan gulanya sehingga makanan yang pahit tidak digemari tetapi makanan yang bergula dianggap makanan yang menyelerakan. Gula menjadikan cara manusia menikmati makanannya lebih bermakna dan menyelerakan.

Selain itu, gula juga menjadikan ubat-ubat lebih mudah untuk ditelan oleh kanak-kanak kerana gula digunakan untuk menjadikannya manis. Kanak-kanak lebih mudah untuk mengambil sesuatu ubat itu seperti ubat batuk dan vitamin jika manisan digunakan bersama-samanya lalu kesihatan kanak-kanak itu lebih baik. Bayangkan jika gula tidak ada sudah pasti ibu bapa dan doctor mengalami kesukaran untuk memberikan ubat kepada pesakit kanak-kanak mereka? Gula yang dikenali sebagai glukosa juga sering diberikan sebagai bahan untuk memberikan tenaga kepada pesakit.

Namun, gula yang diambil terlalu banyak atau tanpa kawalan berupaya membawa kemudaratan terutamanya menjadikan gigi seseorang itu rosak. Biasanya kandungan makanan yang lebih banyak gula akan menyebabkan gigi mempunyai plak yang lebih baik. Bakteria yang wujud dalam plak itu lama kelamamaan akan menyerang enamel gigi manusia sehingga menjadikannya sakit dan terpaksa dicabut.

Malahan, seseorang yang berterusan mengambil gula berlebihan akan mengakibatkan mengalami penyakit kronik terutamanya diabetes dan sakit jantung. Kencing manis berlaku kerana pancreas manusia gagal untuk mengeluarkan insulin yang mampu untuk menguraikan kandungan gula dalam badan manusia itu. Akibatkan kandungan gula yang berlebihan dalam tubuh akan disimpans ebagai lemak lalu seiring dengan masa slauran darah akan tersumbat menyebabkan aliran darah terganggu dengan teruknya. Seseorang itu akan mengalami serangan sakit jantung akhirnya.

Konklusinya, gula merupakan sejenis perisa manis yang tidak berapa diperlukan oleh manusia kerana manusia masih boleh hidup tanpa mengambil gula berlebihan. Makanan semulajadi manusia sudah mengandungi kandungan gula yang cukup untuk seseorang manusia itu. Lantaran itu, seseorang yang mengambil gula berlebihan pasti akan mengalami masalah kesihatan yang boleh membawa maut pula suatu masa nanti.

Wednesday, February 10, 2010

Menulis Perlukan Semangat Tinggi


Semangat yang tinggi untuk berlatih menulis

Dalam sehari berapa lama pelajar menulis? Baiklah, saya silap memberikan soalan, dalam seminggu berapa kalikah pelajar menulis? Sekali? dua kali atau lebih daripada empat kali? Menulis sama juga seperti kemahiran yang lain harus dilakukan berulang kali untuk mencapi satu tahap kelancaran yang tertentu. Pelajar harus menulis sepanjang masa. Mungkin menulis boleh dimulakan dengan sekali seminggu atau mungkin 30 minit setiap hari kemudian ditambah sehingga menjadi 40 minit setiap hari.

Semangat yang tinggi untuk menulis biasanya akan dijelmakan dalam bentuk kekerapan pelajar melakukan aktiviti menulis. Biasanya kalau pelajar itu tidak boleh menulis, saya sudah mampu jangkakan bahawa dia tidak suka menulis dan tidak banyak menghabiskan masa dengan menulis. Bukan sahaja menulis dalam bentuk karangan tetapi dalam apa-apa bentuk sekali pun. Pelajar masih tidak mengerti bahawa untuk menulis anda harus menulis. Setakat menghafal fakta karangan tidak akan membawa anda kemana-mana dalam penulisan. Bayangkan anda membaca buku panduan tentang cara-cara belajar menaiki motosikal tetapi anda tidak pernah menaiki motosikal. Adakah anda yakin anda boleh terus menunggang motosikal dengan hanya membaca buku panduan itu sahaja?

Semakin lama pelajar menulis semakin mahir mereka akan kelebihan dan kekurangan pelajar dalam sesuatu penulisan itu. Kefahaman tentang kelebihan dan kekurangan ini akan menjadikan teknik penulisan pelajar lebih mengkhusus dan baik. Manusia belajar tentang sesuatu perkara menerusi kekerapan mereka melakukan proses yang menghasilkan perkara tersebut. Kadangkala konsep ini dikaitkan dengan latihan yakni semakin banyak latihan dibuat seseorang itu akan menjadi lebih biasa dan mampu melakukan perkara tersebut dengan lebih baik lagi.

Pelajar yang boleh menulis biasanya ialah pelajar yang sanggup menghabiskan masanya menulis. Pada peringkat awal mungkin mereka hanya mampu menulis selama sepuluh minit tetapi lama kelamaan menjadi 20 minit dan seterusnya mungkin 40 minit. Semakin lama mereka menulis semakin mahirlah mereka untuk menghasilkan apa-apa bentuk penulisan tidak termasuk karangan sahaja. Bayangkan jika pelajar semua sanggup dan berlatih dengan baik.