Monday, September 28, 2009

Ramalan 2


Sukan di negara ini terus menjunam berbanding tahun 80-an yang menyaksikan mutu sukan negara terutama bola sepak begitu tinggi di rantau ini. Keadaan ini memberikan pandangan bahawa sesuatu tindakan harus dilakukan untuk membawa semula zaman kegemilangan sukan negara.

Pada pendapat anda apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara.


Mutu sukan negara memang begitu memalukan terutama sukan-sukan tertentu seperti bola sepak, sepak takraw, dan acara trek jika hendak dibandingkan dengan prestasi ahli sukan negara pada zaman dahulu. Pelbagai pihak terutama masyarakat telah mula jemu dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa terutama persatuan sukan terbabit. Pihak media massa turut membuat pelbagai program untuk meneliti dan membuat cadangan yang konkrit untuk membantu memajukan sukan negara kita. Maka, ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan untuk memajukan semula sukan negara.

Tindakan awal yang boleh dilakukan dalam menangani polemik ini ialah kerajaan melantik lebih ramai jurulatih asing datang untuk melatih ahli sukan negara dalam acara sukan yang begitu mengecewakan pencapaiannya. Kehadiran jurulatih asing ini amat penting kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam merangka latihan yang sistematik dan berasaskan sains. Bukan jurulatih tempatan tidak layak untuk melatih ahli sukan negara tetapi pengalaman yang diperoleh oleh jurlatih asing itu memerlukan tempoh masa yang lama untuk dipelajari oleh jurulatih tempatan. Lantaran itu, mutu sukan negara akan meningkat secara mendadak dengan kehadiran lebih ramai jurulatih asing ke negara ini.

Pembinaan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa turut dilaksanakan dengan segera kerana kemudahan sebegini memberi banyak kelebihan kepada ahli sukan negara. Infrastruktur yang moden seperti stadium bola sepak yang besar, kolam renang bersaiz Olimpik dan trek bertaraf dunia menjadikan ahli sukan kita sudah biasa menyesuaikan diri mereka dengan suasana pertandingan yang sudah pasti akan dilakukan di luar negara tetapi dalam stadium atau balapan yang serupa. Latihan yang lebih kerap dan sistematik turut mampu dilaksanakan di kemudahan sukan yang bertaraf dunia ini selain memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mencuba dan menjadi ahli sukan juga. Maka, pembinaan lebih banyak kemudahan sukan akan membuka lebih banyak peluang kepada ahli sukan untuk meningkatkan diri lalu meninggikan kualiti sukan negara.

Bukan sahaja kemudahan sukan ini mampu menyediakan tempat berlatih yang baik tetapi kemudahan sukan ini turut menjadikan negara berpeluang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah acara sukan dunia. Semua kemudahan yang sudah tersedia ini wajar digunakan oleh kerajaan untuk menawarkan negara menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia yang mampu disertai oleh ahli sukan negara juga. Persaingan yang dihadapi oleh ahli sukan negara sudah pasti hebat kerana semua ahli sukan terbaik dunia akan datang ke acara sukan sebegini lalu menjadikan ahli sukan kita lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, mutu sukan negara terus bertambah jika negara menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf dunia.

Selain itu, ganjaran dalam bentuk kewangan dan kedudukan harus diberikan kepada ahli sukan, jurulatih dan sesiapa sahaja yang berperanan meningkatkan lagi prestasi sukan negara. Pemberian ganjaran dalam bentuk kewangan sudah pasti akan menarik minat atau menyuntik semangat kepada ahli sukan untuk memperoleh kejayaan yang lebih baik lagi dalam setiap acara yang disertainya. Bukan sahaja masa depan ahli sukan lebih terjamin dengan adanya ganjaran kewangan sebegini tetapi mereka juga boleh menggunakan bantuan kewangan itu untuk membuat atau menjalani latihan intensif yang lebih baik terutama di luar negara. Sesungguhnya, ganjaran kewangan berupaya meningkatkan prestasi ahli sukan negara kita dalam tempoh terdekat ini.

Malahan, kerajaan menerusi persatuan-persatuan sukan boleh mengadakan program untuk membentuk ahli sukan sejak peringkat awal lagi dengan memperkenalkan program-program pemilihan ahli sukan di bangku sekolah. Mereka yang terpilih ini akan diberi latihan dalam acara sukan tertentu selain menjalani kehidupan seperti pelajar biasa di sekolah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan. Latihan yang bermula sejak mereka masih muda ini sudah pasti memberikan ahli sukan kita satu asas yang kukuh dalam sesuatu acara sukan itu dan hanya perlu digilap sahaja ketika mereka sudah dewasa untuk bertanding secara aktif. Maka, program melatih ahli sukan sejak di bangku sekolah mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam acara sukan di negara ini.

Kesimpulannya, mutu sukan negara kita memang berada di tahap yang begitu mengecewakan sehingga rakyat sudah berasa bosan mendengarnya. Keadaan ini memerlukan satu perubahan drastik dalam cara kita melihat sukan kerana tanpa perubahan sebegini sudah pasti tidak akan berlaku perubahan yang dimaksudkan itu. Dalam masa yang sama ahli sukan turut berperanan untuk berusaha lebih gigih dan yakin akan kemampuan sendiri untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang lain. Slogan "majulah sukan untuk negara" harus dipraktikkan dengan sejelas mungkin.

Wednesday, September 16, 2009

Ramalan 1


Karangan

Dunia penulisan sastera kita mula dipinggirkan.

Jelaskan cara-cara untuk melahirkan penulis muda yang berkaliber di negara ini.

Sememangnya dunia sastera di negara ini tidak mendapat perhatian meluas terutama dalam jiwa remaja kita. Lihat sahaja suasana atau majlis pelancaran buku sastera sudah pasti muka-muka lama atau tokoh veteran sahaja yang menghadirinya tanpa ada wajah-wajah baru yang lebih berpotensi untuk menggantikan tempat penulis lama. Negara kita memang ketandusan penulis muda yang berkaliber terutama dalam penulisan sastera. Lantaran itu, pelbagai tindakan positif boleh dilaksanakan untuk melahirkan penulis-penulis muda ini.

Langkah awal ialah kerajaan mewujudkan satu institusi pendidikan formal dalam penulisan. Penubuhan institusi ini boleh dikategorikan sebagai sebuah kolej atau universiti yang ditubuhkan khas untuk melahirkan penulis muda sahaja dalam pelbagai kategori penulisan. Remaja yang berbakat atau berpotensi dari seluruh negara akan dipilih dan menjalani pelbagai latihan formal dalam bidang penulisan sebagai persiapan awal mengasah bakar terpendam mereka itu. Maka, semakin cepat kerajaan menubuhkan institusi sebegini semakin pantaslah negara berupaya melahirkan penulis muda.

Selain itu, satu skim ganjaran yang lebih praktikal harus diwujudkan untuk menarik lebih ramai generasi muda menyertai dunia penulisan. Setakat ini anugerah sasterawan negara tidak banyak membawa faedah kewangan kepada pemenangnya berbanding populariti dan status yang menyebabkan remaja tidak menganggap penulisan satu kerjaya berprospek tinggi. Bayaran hadiah yang lumayan bersama-sama ganjaran kewangan yang berpanjangan sudah pasti memudahkan penulis untuk terus berkarya selain mampu membuka minda remaja untuk melihat penulisan sebagai kerjaya era moden pula. Jelaslah, ganjaran kewangan yang tinggi berupaya untuk membentuk satu kelompok penulis muda yang besar di negara ini.

Begitu juga dengan aktiviti kempen kesedaran tentang dunia penulisan harus dilaksanakan dengan meluas dan berpanjangan. Kempen ini cuba menyedarkan masyarakat betapa dunia penulisan penting kepada negara dan masyarakat negara lalu menghakis persepsi bahawa penulisan hanya untuk golongan dewasa atau tua sahaja. Usaha melakukan kempen ini juga boleh memberi status atau imej yang lebih baik kepada dunia penulisan kerana kempen yang berterusan mencetuskan betapa kerjaya ini sesuatu yang diidamkan oleh masyarakat negara ini. Sesungguhnya, kempen yang begitu mudah tetapi efektif ini mampu membuka mata remaja tentang dunia sebenar penulisan yang penuh dengan glamor dan ketinggian intelektualannya.

Malah, kerajaan perlu mewujudkan satu suasana yang sesuai untuk penulis muda ini berkarya terutama aspek penerbitan buku mereka. Pelbagai insentif seperti pengecualian cukai kepada bayaran royalti buku mereka atau mengurangkan cukai terhadap bahan-bahan pencetakan buku sudah pasti akan menimbulkan minat yang mendalam dalam diri penulis dan penerbit buku untuk menerbitkan karya mereka secara meluas. Penulis memerlukan suasana yang mampu melahirkan pelbagai idea buat mereka untuk berkarya dan ini merupakan salah satu daripadanya. Oleh itu, suasana yang baik amat penting buat penulis muda di negara ini untuk terus bernafas dan melahirkan karya agung mereka itu.

Kesimpulannya, usaha melahirkan penulis muda di negara ini sesuatu yang harus dilaksanakan segera oleh semua pihak. Semakin lama kita melengahkan masa semakin sukarlah usaha untuk menambahkan jumlah penulis di negara ini. Sikap lepas tangan dan bertindak dengan perlahan sering menjadi masalah besar kepada sebarang usaha perubahan yang hendak dicapai di negara ini. Peribahasa ‘hendak seribu daya tak hendak seribu dalih’ menjadi peringatan betapa pentingnya usaha ini disegerakan.