Sunday, May 31, 2009

Apakah Definisi Belajar Buat Pelajar


Apakah Definisi Belajar Pelajar

Biasanya dalam sebarang kejayaan melakukan sesuatu definisi perkara yang hendak dilakukan itu perlulah betul. Maknanya pelajar harus menyedari erti belajar itu pada pandangan mereka. Kegagalan untuk memahami erti belajar inilah yang menyebabkan banyak pelajar mengambil masa yang lama untuk berjaya dalam pelajaran atau ada yang terus gagal untuk menguasai pelajaran mereka.

Saya sering bertanya kepada pelajar tentang definisi belajar setiap kali berpeluang berbual dengan mereka. Dan pelbagai tafsiran saya terima daripada yang tidak logik sehinggalah yang menarik minat saya. Kemungkinan juga kegagalan pelajar memberikan jawapan terhadap pertanyaan ini berkaitan dengan kegagalan mereka untuk memahami maksud pertanyaan saya tadi. Jadi, sekali lagi ini membuktikan betapa banyak pelajar yang masih gagal memahami definisi belajar walaupun mereka sudah memasuki alam persekolahan bertahun-tahun laman.

Jawapan yang biasa saya terima tentang definisi belajar buat pelajar ialah:

• Belajar ialah perkara yang mesti saya buat dan perkara yang tidak boleh buat
• Belajar ialah satu pencapaian
• Belajar ialah satu obligasi atau tugas pelajar
• Belajar bermakna menyiapkan kerja sekolah
• Belajar boleh jumpa ramai kawan
• Belajar seronok sebab tidak perlu jumpa ibu bapa selalu
• Belajar ialah perkara yang disuruh oleh ibu bapa

Kalau kita kaji kebanyakan jawapan yang diberikan ini tidak melahirkan perasaan sebenar seseorang pelajar itu terhadap definisi belajarnya. Maksud saya pelajar masiht idak memahami bahawa belajar memerlukan satu perasaan yang mendalam daripada sanubari mereka sendiri. Belajar harus melibatkan diri mereka sendiri tetapi jika kita lihat kebanyakan jawapan yang diberikan sebagai contoh di atas banyak yang dipaksakan terhadap pelajar itu. Maknanya pelajar belajar atas paksaan bukan kerelaan mereka.

Pada pandangan saya belajar itu harus melibatkan tiga makna yang penting yakni:

• Tugas pelajar
• Prestasi pelajar
• Keseronokan pelajar

Tiga komponen ini harus ada dalam definisi belajar setiap pelajar kerana tanpa ketiga-tiga ini belajar hanya merupakan sesuatu yang rutin tanpa menghasilkan sebarang impak yang ketara dalam kehidupan pelajar. Tanpa definisi yang tepat, belajar hanyalah sesuatu yang lumrah sama seperti deruan angin yang memang wujud tetapi jika tidak digunakan dengan sebaiknya hanyalah angin yang bertiup begitu sahaja.

Belajar merupakan tugas setiap pelajar. Sudah menjadi lumrah bahawa belajar atau memasuki alam persekolahan harus dialami oleh semua pelajar kerana mereka merupakan golongan muda. Tugas pelajar ialah untuk belajar bukannya bekerja, bukannya duduk melepak, dan sudah pasti bukannya terbabit dengan gejala negatif. Pelajar harus belajar kerana itu tugas mereka sama seperti tentera yang tugasnya menjaga keamanan negara tanpa memikirkan kesan sampingan.

Belajar juga melibatkan prestasi pelajar yakni setiap pelajar harus sedar bahawa mereka mempunyai tahap-tahap kelulusan yang perlu dihadapi dan diatasi. Setiap prestasi itu mestilah menunjukkan peningkatan yang walaupun sedikit tetapi realistik. Saya pernah bertemu dengan seorang pelajar yang ketika Tingkatan 4 langsung tidak boleh membaca lalu setiap hari sabtu saya memintanya datang berjumpa dengan saya di kelas dan saya mengajarnya membaca. Memang beliau tidak mendapat keputusan A dalam peperiksaan SPM buat bahasa Melayunya tetapi beliau sudah boleh membaca dan menulis dengan baik kini. Itu prestasi yang saya maksudkan. Kejayaan yang boleh diukur oleh setiap pelajar.

Belajar juga harus diisikan dengan rasa seronok. Konsep seronok di sini bukan bermaksud seronok ketawa di kedai kopi atau melihat program lucu tetapi seronok dalam erti kata setiap pelajaran yang difahami itu membawa satu makna dalam kehidupan pelajar. Pelajaran yang dianjar oleh guru mungkin memberikan maklumat tentang keadaan semasa lalu pelajar berasa seronok kerana dapat melihat impak yang sebenarnya.

Jika pelajar memahami semua konsep di atas, maka definisi belajar pelajar berada dalam landasan yang betul.

jadi, terus menulis.

Monday, May 25, 2009

Pakej Pendidikan Prosa Klasik Antologi Anak Laut dan Kerusi Bermula jun

Pelajar semua

Pakej pendidikan Prosa Klasik Antologi Anak Laut dan Kerusi akan bermula Jun ini. Sesiapa yang berminat dengan pakej ini sila emel kepada saya.

Untuk makluman anda, pakej Sajak sudah bermula April lalu dan pakej Puisi pula pada Mei. Manakala cerpen akan bermula pada Julai.

Selamat belajar

azman

Sunday, May 24, 2009

Belajar Perlukan Fokus Terbaik


BERI PERHATIAN ATAU FOKUS

Oleh: noor azman mahat
Emel: azmanukm@gmail.com

Biasanya sesuatu perkara yang dilakukan oleh pelajar itu akan menjadi lebih baik jika pelajar memberi tumpuan atau perhatian atau fokus yang betul. Fokus merujuk penumpuan perhatian yang betul ketika melakukan sesuatu lalu kegagalan atau kehilangan fokus menyebabkan pelajar akan gagal untuk melaksanakan sesuatu perkara itu dengan baik.

Pertama kita semua harus sedar bahawa fokus bukanlah sesuatu tindakan yang boleh dihasilkan menerusi paksaan. Sebarang usaha yang dilakukan untuk memaksa pelajar memberi tumpuan pasti akan menimbulkan kegagalan. Fokus timbul secara sendiri dalam diri pelajar setelah mereka menyedari beberapa aspek fokus itu sendiri dan kepentingannya dalam pelajaran mereka.

Menariknya adalah ketika fokus tidak boleh dipaksa perasaan memberikan tumpuan ini mudah sekali untuk ditewaskan atau digagalkan daripada tersemai dalam diri pelajar. Oleh itu, fokus yang dimaksudkan dalam buku ini ialah tempoh tidak memberikan fokus itu perlu dikurangkan. Semakin kurang tempoh tidak memberi perhatian dicapai makan semakin baguslah fokus pelajar itu secara tersiratnya. Pemahaman ini penting kerana pemberian 100% fokus terhadap pelajaran merupakan sesuatu yang sukar untuk dicapai.

Jika terlalu banyak kesusahan untuk memahami maka kuranglah rasa seronok belajar lalu menimbulkan stres kepada pelajar. Begitu juga jika pelajaran itu terlalu mudah lebih banyak rasa seronok timbul tetapi fokus juga mungkin kurang diperoleh. Oleh itu, fokus yang hendak dicapai di sini bukanlah 100% tetapi tempoh masa berkhayal atau tidak memberi tumpuan itu dipendekkan setiap kali sehingga kadarnya terus menurun mengikut masa.

Ketinggian tahap fokus juga banyak bergantung kepada penilaian awal pelajar. Saya yakin semua pelajar akan menilai guru-guru mereka. Ada yang meminati guru itu dan ada pula yang tidak meminati sesetengah guru. Penilaian awal yang negatif sebegini menyebabkan pelajar gagal memberikan tumpuan ketika guru tersebut mengajar. Malah, penilaian awal yang menganggap subjek atau topik subjek itu tidak penting juga menyebabkan pelajar tidak mampu memberikan perhatian yang secukupnya terhadap subjek tersebut. Jadi, pastikan pelajar tidak membuat penilaian awal terhadap sesuatu perkara itu baik guru, subjek, dan topik yang hendak dipelajari.

Ada tiga bahagian penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperoleh fokus yang baik buat pelajar. Bahagian itu ialah fokus terhadap komunikasi, fokus pendengaran dan fokus istilah penting.

• Fokus komunikasi bermaksud pelajar mendengar penerangan yang diberikan oleh guru itu dengan baik. Pelajar tidak harus memberikan penilaian awal terhadap penerangan guru itu seperti menganggap penerangan itu membosankan, tidak penting atau tidak suka akan peribadi guru itu. Pelajar harus fokus komunikasi guru itu dengan sebaiknya.

• Fokus aspek pendengaran. Semua maklumat yang diberikan oleh guru itu hendaklah didengar dengan baik. Pendengaran pelajar akan lebih positif jika sanggup menerima semua informasi yang diberikan oleh guru itu tanpa membuat pemilihan tertentu.

• Fokus istilah penting merujuk setiap penerangan guru mesti ada bahagian yang diberi penekanan olehnya. Guru itu mungkin sering mengucapkan perkara yang saya atau memberitahu betapa kerapnya soalan sebegini ditanya dalam peperiksaan.

Biasanya dalam memberi fokus ini wujudnya gangguan-gangguan fokus. Sekiranya pelajar sering gagal memberi fokus atau masa berkhayal terlalu lama maka pelajar dikatakan gagal untuk memahami atau menyelesaikan konflik keutamaan dalam dirinya. Ketika di dalam kelas, fokus hendaklah diberikan kepada pengajaran guru tetapi pelajar yang menganggap pelajaran guru itu tidak penting sudah pasti tidak mampu memberikan fokus yang sewajarnya. Pelajar tidak memahami keutamaan pelajaran itu.

Kejayaan memberikan fokus yang lama ialah kemampuan untuk memahami semua penerangan guru secara mendalam dan menyeluruh. Lantaran itu, pelajar akan lebih mudah untuk menyelesaikan sebarang soalan yang diberikan oleh guru.

Oleh itu salah satu cara yang mudah untuk menimbulkan fokus dalam diri pelajar ialah memahami erti keinginan yang wujud. Keinginan inilah yang mampu memberikan pelajar kemampuan untuk memberi fokus. Keinginan untuk belajar, keinginan untuk memahami subjek itu, keinginan untuk berjaya menyelesaikan soalan yang diberiken oleh guru dan kemungkinan keinginan untuk berjaya dalam peperiksaan akan datang. Semakin kurang keinginan itu semakin lamalah fokus yang mampu diberikan oleh pelajar.

Monday, May 18, 2009

Senarai Tajuk Karangan Penting


Pelajar semua,

Atas permintaan ramai, saya merangka satu bentuk perkhidmatan baru yang mampu memudahkan kehidupan pelajar yakni dengan memberikan kebebasan kepada pelajar untuk memiliki contoh karangan yang baik.

Ada sesetengah pelajar lebih suka memilih tajuk-tajuk tertentu sahaja daripada membeli sebuah buku. Jadi, perkhidmatan memberikan kebebasan kepada pelajar untuk memilih tajuk-tajuk yang dianggap penting buat dirinya.

Semua senarai tajuk karangan ini boleh dimiliki dengan harga serendah RM2 satu karangan. Karangan yang diberikan merupakan karangan yang lengkap.

Anda hanya perlu memilih tajuk-tajuk yang disediakan di bawah dan menghantar permohonan pembelian bahan itu kepada saya menerusi emel dengan menuliskan tajuk-tajuk yang telah dipilih kepada:

azmanukm@gmail.com
atau
azmanukm@tm.net.my
atau
azmanukm@yahoo.com

Sila lihat senarai tajuk karangan yang disediakan di bawah ini:


SENARAI TAJUK KARANGAN YANG DITAWARKAN

Karangan 1

Sektor perindustrian sudah menjadi satu nadi ekonomi yang penting kepada negara ini sejak beberapa dekad yang lalu. Penubuhan beberapa kawasan perindustrian telah membuktikan bahawa sektor ini menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara. Namun, sudah ada beberapa pihak yang menganggap sektor ini membawa pelbagai impak negatif kepada masyarakat kita.

Jelaskan impak-impak negatif yang berlaku itu.

Karangan 2

Industri desa telah digunakan oleh kerajaan untuk memajukan kawasan kampung. Pelbagai produk kampung seperti kraf tangan dan makanan ringan telah terhasil menerusi program sebegini.

Huraikan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk memajukan projek sebegini.

Karangan 3

Negara kita memiliki kawasan hutan yang luas. Sejak beberapa tahun belakangan ini, banyak kawasan hutan ini yang telah diteroka untuk mendapatkan hasil kayunya yang begitu tinggi dan mewujudkan kawasan pembangunan baru. Keadaan ini semakin menjadi-jadi terutama di kawasan luar bandar yang sukar untuk diawasi.

Pada pendapat anda apakah kesan-kesan negatif yang timbul daripada pembalakan.

Karangan 4

Industri pelancongan dikatakan penyumbang utama kepada ekonomi negara ini terutama ketika dunia mengalami masalah kegawatan ekonomi yang ketara. Kedatangan pelancong ke negara ini terus meningkat saban tahun yang paastinya mengembirakan semua pihak di negara ini.
Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan lagi industri ini di negara ini.

Karangan 5

Kerajaan negara kita telah membuat program penswastaan yang begitu banyak pada era 80-an. Usaha ini telah menyaksikan banyak perubahan dalam kehidupan masyarakat di negara ini terutama yang bercorak positif.

Huraikan kesan-kesan positif yang timbul menerusi program kerajaan ini.

Karangan 6

Perumahan merupakan satu kemelut yang sedang melanda negara terutama di kawasan banyak. Banyak masalah setinggan yang berlaku membuktikan betapa masalah perumahan di negara ini begitu mendesak.

Jelaskan masalah-masalah yang melanda sektor perumahan di negara ini.

Karangan 7

Sukan di negara ini terus menjunam berbanding tahun 80-an yang menyaksikan mutu sukan negara terutama bola sepak begitu tinggi di rantau ini. Keadaan ini memberikan pandangan bahawa sesuatu tindakan harus dilakukan untuk membawa semula zaman kegemilangan sukan negara.

Pada pendapat anda apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara.


Karangan 8

Industri pengiklanan di negara ini memang luas dan menarik tetapi sudah mula ada komen-komen negatif tentang kewujudan iklan di negara ini.

Huraikan kesan-kesan buruk yang timbul menerusi kewujudan iklan.

Karangan 9

Pembinaan lebuh raya di negara ini telah menjadi pujian masyarakat dunia tetapi kini sudah timbul pelbagai isu yang tidak sihat tentang lebuh raya yang menjadi kebanggaan kita semua itu.

Huraikan isu-isu yang melanda lebuh raya kita.

Karangan 10

Kewujudan badan kebajikan di negara ini dikatakan telah banyak membantu golongan-golongan tertentu di negara ini. Banyak pihak yang telah memberikan pendapat mereka tentang kebaikan wujudnya badan kebajikan sebegini. Namun, persatuan kebajikan ini sering mengalami masalah.

Huraikan.

Karangan 11

Isu pengangguran menjadi-jadi ketika ekonomi dunia bergolak. Pelbagai langkah harus diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini terutama dalam kalangan belia.

Jelaskan langkah-langkah yang konkrit.

Karangan 12

Perikanan merupakan aktiviti ekonomi penting terutama di kawasan pantai timur negara kita. Cuma pelbagai masalah menwarnai kehidupan mereka.

Jelaskan.

Karangan 13

Negara dikatakan mempunyai kadar pencemaran alam yang tinggi terutama kemusnahan hutannya. Hutan negara dikatakan akan pupus dalam masa 20 tahun sahaja.

Jelaskan punca-punca pencemaran alam ini.

Karangan 14

Kebanjiran pekerja asing di negara ini begitu menakutkan kita semua. Jumlah pekerja asing dikatakan mencecah angka jutaan orang.

Apakah punca-punca dan kesan-kesan negatif kedatangan pekerja asing ini.

Karangan 15

Membaca dikatakan penting dalam hidup manusia tetapi masih ramai yang tidak suka membaca.

Jelaskan sebab-sebab minat membaca di negara ini kurang.

Karangan 16

Pelbagai masalah melanda sekolah kita terutama aspek disiplin pelajar.

Nyatakan kemelut-kemelut yang melanda sistem pendidikan negara.

Karangan 17

Pelajar digalakkan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah tetapi ramai yang tidak mematuhinya.

Apakah kebaikan-kebaikan menyertai aktiviti sebegini kepada pelajar.

Karangan 18

Konsep gotong-royong merupakan amalan murni yang diamalkan di negara ini sejak dahulu lagi.

Nyatakan kebaikan-kebaikan mengamalkan amalan sebegini dalam masyarakat kita.

Karangan 19

Setiap kaum di negara ini memiliki adat resam mereka yang tersendiri lagi unik. Kepelbagaian adat resam ini memberikan warna kehidupan yang hidup buat masyarakat kita.

Jelaskan fungsi-fungsi adat resam pada pandangan anda.


Karangan 20

Warga tua di negara ini terus bertambah saban tahun terutama di kawasan bandar.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memudahkan kehidupan warga tua di negara ini.

Karangan 21

Kanak-kanak dikatakan anugerah Tuhan kepada manusia tetapi masih ada banyak kanak-kanak yang terbiar.

Jelaskan cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh kanak-kanak di negara ini.

Karangan 22

Televisyen dikatakan antara teknologi moden yang banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan mereka tentang hal ini.

Apakah pengaruh-pengaruh televisyen yang dapat anda lihat sebagai seorang pelajar.

Karangan 23

Negara kita mula mengutamakan pertanian semula. Kerajaan telah memberikan banyak insentif untuk memajukan bidang ini.

Huraikan keburukan-keburukan mengutamakan pertanian moden.

Karangan 24

Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja dikatakan sudah luntur terutama di kawasan bandar.

Jelaskan cara-cara untuk memupuk semula semangat ini dalam jiwa remaja.

Karangan 25

Konsep kesedaran sivik mula menjadi penekanan kerajaan terutama dalam kalangan remaja.

Huraikan kebaikan-kebaikan memiliki kesedaran sivik dalam diri seseorang itu.

Karangan 26

Persatuan Pengguna di negara ini dikatakan tidak memainkan peranan mereka dengan begitu efektif terutama ketika ekonomi dunia mengalami kegawatan.

Pada pendapat anda apakah peranan-peranan yang harus dimainkan oleh sesebuah persatuan pengguna itu.

Karangan 27

Permainan tradisional dikatakan semakin hilang dalam minda masyarakat kita terutama di bandar besar.

Jelaskan fungsi permainan tradisional dalam masyarakat kita.

Karangan 28

Institusi kekeluargaan amat penting untuk kemajuan sesebuah negara tetapi kita sering mendengar keluhan bahawa keluargalah yang memusnahkan masyarakat kini.

Apakah kepentingan institusi kekeluargaan.

Karangan 29

Negara dikatakan memiliki khazanah hutan yang begitu banyak walaupun ada pihak yang mempertikaikan pandangan ini.

Huraikan usaha-usaha untuk mengekalkan khazanah hutan negara ini daripada terus hilang begitu sahaja.

Karangan 30

Pemuliharaan bangunan bersejarah di negara ini mula dijalankan oleh pihak berkuasa.

Huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi untuk menjaga bangunan bersejarah ini.

Karangan 31

Dunia muzik di negara ini dikatakan mula berkembang tetapi masih ketinggalan berbanding negara-negara jiran.

Jelaskan kebaikan-kebaikan bidang muzik kepada remaja.

Karangan 32

Perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam jiwa masyarakat kita.

Berikan pendapat anda tentang impak-impak negatif yang dibawa olehnya dan langkah mengawalnya.

Karangan 33

Tempat rekreasi seperti taman merupakan satu aspek penting untuk kehidupan yang bermakna.

Apakah peranan tempat rekreasi ini?

Karangan 34

Negara pernah berhasrat untuk memiliki 70 juta penduduk negara.

Huraikan masalah-masalah yang bakal timbul jika angka ini dicapai.

Karangan 35

Setiap insan memiliki hobinya tertentu.

Jelaskan usaha-usaha yang harus dilakukan untuk meningkatkan pemilikan hobi dalam jiwa masyarakat.

Karangan 36

Menurut perangkaan tahap kesihatan masyarakat di negara ini terus bertambah baik.

Beri pendapat anda tentang cara-cara menjaga kesihatan yang baik.

Karangan 37

Kerajaan cuba menjalankan pelbagai projek pembangunan di negara ini terutama di kawasan luar bandar.

Jelaskan tujuan-tujuan projek pembangunan dilaksanakan dengan giatnya.

Karangan 38

Negara dikatakan mempunyai kawasan tanah yang luas dan subur untuk diusahakan tetapi pelbagai masalah berlaku.

Pada pendapat anda apakah masalah-masalah yang menghantui tanah negara.

Karangan 39

Industri perikanan air tawat di negara ini masih lagi baru tetapi masih banyak masalah yang melanda industri ini.

Huraikan.

Karangan 40

Amalan berbelanja di negara ini begit menakutkan. Ada yang terpaksa mengisytharkan diri mereka bankrup kerana terlalu suka berbelanja.

Huraikan kebaikan-kebaikan amalan berjimat-cermat.

Karangan 41

Disiplin pelajar sering menjadi bahan bualan masyarakat kita terutama apabila berlakunya sesuatu kejadian yang melibatkan pelajar sekolah.

Jelaskan pandangan anda sebagai pelajar yang menyebabkan disiplin pelajar begitu terjejas kini.

Karangan 42

Industri buah-buahan negara kita semakin berkembang terutama buah durian, pisang, betik dan rambutan.

Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan industri ini terus berkembang pesat pada masa hadapan.

Karangan 43

Media massa dikatakan saluran komunikasi dan informasi yang penting buat masyarakat.

Apakah peranan yang mampu dimainkan oleh media cetak.

Karangan 44

Semangat kejiranan di negara ini dikatakan sudah berkurangan terutama dalam diri golongan muda di bandar.

Huraikan kebaikan-kebaikan yang boleh dibawa oleh semangat ini.

Karangan 45

Industri penulisan novel di negara ini mula berkembang. Pelbagai jenis novel mula diterbitkan oleh penerbit tempatan.

Pada pandangan anda, apakah keburukan-keburukan membaca novel kepada remaja.

Karangan 46

Subjek sastera sudah dijadikan sebahagian daripada pendidikan bahasa di sekolah. Namun masih ramai yang tidak memahami kepentingan menguasai sastera kini.

Huraikan kepentingan memahami sastera kepada pelajar.

Karangan 49

Koperasi merupakan sesuatu yang baru kepada masyarakat kita tetapi buat negara maju konsep koperasi sudah lama diamalkan.

Jelaskan kebaikan-kebaikan menubuhkan koperasi kepada masyarakat.

Karangan 48

Perpaduan kaum di negara ini dikatakan mula renggang ekoran beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Jelaskan kepentingan memiliki perpaduan yang utuh.

Karangan 49

Kewujudan pasaraya besar di negara ini sudah menjadi satu kebiasaan. Cuma pelbagai masalah pula timbul tanpa disedari.

Huraikan.

Sunday, May 17, 2009

Menulis esei atau karangan dikatakan membosankan...


Menulis dianggap bosan

Salah satu sebab pelajar gagal menguasai kemahiran menulis kerana pelajar menganggap penulisan itu sesuatu yang membosankan. Masa yang panjang untuk merangka sesuatu karangan dikatakan lebih berguna untuk membuat latihan sains atau matematik kerana latihan dua subjek itu lebih jelas kesudahannya iaitu mereka boleh mendapat jawapan yang sahih. Berbeza dengan menulis yang kadangkala banyak bergantung kepada keperluan tajuk dan cara penulisan yang menyebabkan sesuatu ayat itu walaupun dianggap baik tetapi tidak memenuhi keperluan peperiksan pula. Inilah yang menyebabkan pelajar berasa bosan.

Bukan sahaja aspek masa yang panjang diperlukan untuk menulis dan pemberian markah yang agak subjektif, bidang ini juga tidak digemari kerana bidang ini lebih banyak menumpukan aspek dalaman seseorang. Ya, aspek perasaan dan naluri manusia. Subjek sains diminati kerana ada banyak uji kaji yang mampu mencelikkan mata pelajar yang sedang mengantuk. Begitu juga dengan Matematik yang penuh dengan kiraan dan formula tetapi tidak dalam penulisan.

Penulisan hanya dianggap menarik apabila seseorang pelajar itu sudah mampu menguasai sesuatu tahap atau sudah ada keyakinan bahawa dia sudah boleh menulis dengan baik. Ketika itulah pelajar akan suka dan sering menulis. Selagi perasaan yakin akan kemampuan untuk menulis itu belum wujud selagi itulah pelbagai alasan akan muncul dalam diri pelajar terbabit. Capai dahulu perasaan yakin untuk menulis sedikit demi sedikit sebelum anda mampu menulis bak profesional.

Tuesday, May 12, 2009

Menulis Perlukan Pembacaan yang Banyak


Membaca asas kepada menulis

Dalam sehari berapa banyak bahan yang anda baca? Salah, dalam setahun berapa banyak buku dan majalah yang anda baca? Aspek pertama yang sering saya tegaskan dalam sebarang usaha untuk mendidik pelajar mahir dalam bidang penulisan adalah dengan membuat pertanyaan tentang kadar pembacaannya. Biasanya, kejayaan pelajar dalam penulisan ada kaitan dengan kadar atau tahap pembacaannya. Keupayaan untuk menulis yang wujud dalam diri seseorang banyak bergantung kepada kemampuannya untuk membaca.

Semua pelajar yang mahir dalam penulisannya sudah pasti banyak membaca kerana pembacaan yang banyak memberikan pelbagai idea untuk menulis kerana pelajar terbabit sudah membaca sesuatu isu yang berkaitan dengan tajuk karangan yang akan ditulisnya. Semua tajuk karangan fakta berkaitan dengan isu atau artikel yang sudah disiarkan di dalam akhbar atau majalah atau apa-apa bahan cetak yang ada di negara ini. Jadi, untuk mahir dalam penulisan, pelajar harus membaca dan terus membaca.

Memang sudah ada kajian yang membuktikan bahawa seseorang yang suka membaca mampu menulis dengan baik kerana semua idea yang dibacanya sudah ada di dalam minda dan menunggu masa sahaja untuk ditulis dengan begitu baik. Pembacaan yang banyak juga membolehkan pelajar untuk melihat cara dan teknik penulisan seseorang penulis tersebut terutama cara penulis menghuraikan sesuatu perkara dengan mudah tetapi menarik. Setiap kali pelajar membaca artikel atau mungkin karangan yang berkualiti sudah pasti pelajar akan dapat melihat gaya penulisan yang tertentu dan jika pelajar bijak mereka boleh meniru gaya penulisan ini dalam aktiviti penulisan karangan mereka.

Maka, pelajar boleh bayangkan penulis novel yang tidak suka membaca? Sudah pasti penulis itu tidak akan berjaya menulis novelnya kerana tidak memiliki pembacaan yang tinggi kerana mereka tidak mengalami pelbagai teknik menulis yang boleh menarik minat pembaca. Ringkasnya, untuk mahir menulis, pelajar itu perlulah membaca dengan lebih banyak lagi.

Jadi, terus menulis.

Thursday, May 7, 2009

Belajar Menulis Menerusi Kesilapan Demi Kesilapan


Kesanggupan untuk melakukan kesilapan ketika menulis

Biasanya pelajar apabila menulis akan merujuk penulisan mereka kepada saya. Bukan saya tidak suka melihat atau memberikan komen akan penulisan pelajar tetapi masalahnya ialah pelajar hanya menulis sebaris atau dua baris sahaja. Bagaimana guru hendak memberikan komen jika pelajar hanya menulis sebaris atau dua baris sahaja sebab guru tidak mampu untuk melihat keseluruhan isi yang hendak ditonjolkan oleh pelajar. Biasanya pelajar tidak berani menulis satu perenggan atau lebih kerana mereka bimbang melakukan banyak kesilapan.

Persoalan yang timbul di sini ialah semua penulis harus menulis dan harus melakukan kesilapan. Kebanyakan penulis yang berjaya kini bukannya menulis sekali sahaja dan semua ayat yang ditulis itu akan diterima. Tidak itu bukan penulisan itu hanya coretan sahaja yang boleh diubah bila-bila masa untuk beberapa kali. Setiap hasil penulisan pasti akan diubah dan diubah dan terus diubah sebelum mencapai satu kepuasan yang sebenarnya. Tidak ada penulisan yang tepat buat kali pertama, semuanya harus mengalami perubahan demi perubahan.

Jadi, pelajar seharusnya melengkapkam sesuatu perenggan itu atau mungkin juga sesuatu karangan sebelum meminta guru memberikan komen. Setelah memperoleh hasil penulisan yang lengkap dalam bentuk perenggan atau satu karangan yang cukup sudah pasti guru tadi mampu untuk memberikan sebarang komentar kerana beliau mampu melihat keseluruhan idea yang ingin disampaikan oleh pelajar. Komen yang diberikan baik berbentuk negatif atau positif sudah pasti mampu menyedarkan pelajar akan kedudukan atau kemahirannya dalam menulis karangan tersebut.

Cuma, tidak ramai pelajar yang berani untuk menulis kerana mereka takut melakukan kesilapan. Semakin banyak kesilapan yang anda lakukan semakin sedarlah pelajar akan cara menulis yang betul dan kelemahan diri lalu mampu mencari jalan penyelesaiannya. Jadi, terus menulis dan lakukan kesilapan sebab itulah tanda akan menuju ke arah kesempurnaan penulisan anda.

Jadi, terus menulis.

Sunday, May 3, 2009

Pelajar harus tulis 10 ribu kali untuk mahir menulis karangan?


Semangat yang tinggi untuk berlatih menulis

Dalam sehari berapa lama pelajar menulis? Baiklah, saya silap memberikan soalan, dalam seminggu berapa kalikah pelajar menulis? Sekali? dua kali atau lebih daripada empat kali? Menulis sama juga seperti kemahiran yang lain harus dilakukan berulang kali untuk mencapi satu tahap kelancaran yang tertentu. Pelajar harus menulis sepanjang masa. Mungkin menulis boleh dimulakan dengan sekali seminggu atau mungkin 30 minit setiap hari kemudian ditambah sehingga menjadi 40 minit setiap hari.

Semangat yang tinggi untuk menulis biasanya akan dijelmakan dalam bentuk kekerapan pelajar melakukan aktiviti menulis. Biasanya kalau pelajar itu tidak boleh menulis, saya sudah mampu jangkakan bahawa dia tidak suka menulis dan tidak banyak menghabiskan masa dengan menulis. Bukan sahaja menulis dalam bentuk karangan tetapi dalam apa-apa bentuk sekali pun. Pelajar masih tidak mengerti bahawa untuk menulis anda harus menulis. Setakat menghafal fakta karangan tidak akan membawa anda kemana-mana dalam penulisan. Bayangkan anda membaca buku panduan tentang cara-cara belajar menaiki motosikal tetapi anda tidak pernah menaiki motosikal. Adakah anda yakin anda boleh terus menunggang motosikal dengan hanya membaca buku panduan itu sahaja?

Semakin lama pelajar menulis semakin mahir mereka akan kelebihan dan kekurangan pelajar dalam sesuatu penulisan itu. Kefahaman tentang kelebihan dan kekurangan ini akan menjadikan teknik penulisan pelajar lebih mengkhusus dan baik. Manusia belajar tentang sesuatu perkara menerusi kekerapan mereka melakukan proses yang menghasilkan perkara tersebut. Kadangkala konsep ini dikaitkan dengan latihan yakni semakin banyak latihan dibuat seseorang itu akan menjadi lebih biasa dan mampu melakukan perkara tersebut dengan lebih baik lagi.

Pelajar yang boleh menulis biasanya ialah pelajar yang sanggup menghabiskan masanya dengan hanya menulis. Pada peringkat awal mungkin mereka hanya mampu menulis selama sepuluh minit tetapi lama kelamaan menjadi 20 minit dan seterusnya mungkin 40 minit. Semakin lama mereka menulis semakin mahirlah mereka untuk menghasilkan apa-apa bentuk penulisan tidak termasuk karangan sahaja. Bayangkan jika pelajar semua sanggup dan berlatih dengan baik.

Jadi, terus menulis.