Thursday, December 24, 2009

Menulis perlukan keyakinan diri?


Bina keyakinan menulis dahulu?

Pelajar juga banyak gagal menulis kerana mereka tidak mempunyai keyakinan menulis. Setiap kali mereka ingin menulis sudah pasti setiap kali itu juga perasaan tidak yakin akan kemampuan mereka timbul lalu sikap negatif ini menjadi satu kelazaiman yang menghalang perkembangan pelajar untuk memahirkan diri mereka menulis dengan baik.

Sebenarnya, pelajar harus menanam keyakinan menulis dalam diri mereka terlebih dahulu. Setiap kali mereka berasa malas atau tidak suka menulis, pelajar harus meneriakkan kata-kata perangsang yang mendalam dalam jiwa mereka bahawa mereka akan menulis kerana yakin mereka mampu menyiapkan satu karangan dengan sebaiknya. Suara keyakinan inilah yang membentuk jiwa pelajar untuk meminati penulisan lalu akan menjadi mahir pada suatu masa nanti tanpa mereka sedari pula.

Satu hari cuma satu perenggan atau dua perenggan dan kemudian menambah menjadi tiga atau empat perenggan pada minggu seterusnya. Teknik menulis sebegini memberi pelajar keyakinan sedikit demi sedikit untuk memahirkan diri menulis. Pada masa yang sama pelajar akan menyedari kelemahan dan kelebihan mereka ketika menulis. Mungkin pelajar akan sedar mereka lebih mahir dalam aspek pendahuluan tetapi sedikit lemah dalam perengan. Kesedaran ini menyebabkan pelajar akan berusaha meningkatkan kemahiran dalam penulisan perenggan pula.

Tuesday, December 15, 2009

KENAPA PELAJAR PERLU MAHIR MENULIS?


Kenapa pelajar perlu mahir menulis

Hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan pelajar menjawab dalam bentuk tulisan dan ada juga yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat. Keadaan ini menyebabkan seseorang pelajar yang tidak memiliki kemahiran menulis yang baik sering menghadapi masalah untuk menjawab soalan bukan kerana diri mereka tidak bijak tetapi mereka tidak memiliki kemahiran untuk meluahkan kebijaksanaan mereka itu dalam bentuk tulisan.

Lantaran itu, pelajar yang mampu menjawab soalan dengan baik dalam peperiksaan ialah pelajar yang memiliki kemahiran menulis yang tinggi kerana selain mampu memberikan data-data yang tepat, pelajar sebegini juga berupaya menyusun jawapannya dalam bentuk yang begitu mudah, teratur dan meyakinkan pemeriksa bahawa pelajar terbabit sememangnya bijak dalam sesuatu subjek pelajaran tersebut.

Jadi, tanpa pelajar semua sedari mahu tidak mahu, minat atau tiada minat, penulisan merupakan satu latihan yang harus dibuat oleh pelajar setiap hari. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa latihan menulislah yang lebih penting daripada semua latihan yang ada dalam hidup pelajar terutama apabila pelajar bakal memasuki alam kerjaya. Semua laporan kerja terutama pembentangan projek, laporan kewangan dan rancangan pembangunan produk perlu dibentangkan juga dalam bentuk penulisan. Oleh itu, mahirkan diri pelajar dengan menulis dan menulis.