Tuesday, June 23, 2009

PELAJAR HARUS FAHAM CARA BELAJAR SENDIRI



FAHAMI DIRI SENDIRI

Sebenarnya pelbagai cara belajar boleh digunakan oleh pelajar dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Dalam memahami cara belajar yang sesuai ini, tidak ada sebarang teknik yang betul atau berkesan 100% buat seseorang itu akan berkesan juga kepada orang lain. Malah, kemungkinan gabungan dua cara pembelajaran atau lebih mungkin lebih sesuai dengan seseorang pula. Paling penting di sini ialah pelajar memahami kemampuan diri sebenarnya supaya mereka faham cara pembelajaran yang sesuai buat mereka. Jadi kenapakah memahami cara pembelajaran seseorang itu amat penting diketahui? Mudah sahaja, kemahiran ini menjadikan pelajar mengetahui cara-cara untuk menajamkan lagi kemahiran mereka dalam sesuatu subjek dan perubahan ini boleh dilakukan kerana pelajar juga mengetahui kelemahan yang wujud lalu mengambil tindakan susulan yang tepat.

Sebarang perubahan yang dilakukan mestilah berlandaskan kefahaman tentang kelemahan diri pelajar. Maklumat tentang cara pembelajaran seseorang itu sudah pasti akan memberikan idea kepada pelajar untuk melihat diri lalu membuat perubahan drastik yang tepat dan berkesan. Jadi, pastikan pelajar memahami cara pembelajaran diri mereka untuk memastikan pendidikan mereka mencapai tahap kejayaan yang maksima mungkin.

Baiklah, terdapat beberapa jenis pelajar yang harus diketahui oleh kita semua.

Pelajar jenis visual
Pelajar sebegini lebih mudah memahami sesuatu perkara apabila bahan yang hendak mereka fahami itu dibentangkan atau dihuraikan dalam bentuk visual seperti nota lengkap, gambar menerusi projektor, tulisan di papan putih dan sebagainya. Pelajar jenis ini suka mengambil nota dengan melukis sesuatu mengikut kefahaman mereka apabila guru menerangkan konsep atau idea utama. Tindakan pelajar melukis dan membuat rajah ini menjadikan pelajar ini lebih mudah faham tentang sesuatu perkara itu. Semakin banyak rajah atau lukisan berkaitan yang dihasilkan semakin jelaskan kefahaman pelajar itu kelak.

Pelajar jenis audio
Biasanya pelajar jenis ini begitu mudah berinteraksi dengan guru di dalam kelas kerana mereka begitu mudah untuk memahami semua penerangan guru hanya dengan mendengar suara mereka sahaja. Interaksi dengan guru dan rakan-rakan lebih jelas terutama dengan penggunaan konsep perbualan. Mereka juga mudah belajar dengan hanya menggunakan kaset atau cd yang berasaskan suara sahaja. Ringkasnya, pelajar jenis ini lebih mudah memahami sesuatu perkara dengan hanya perlu mendengar sahaja tanpa ada sebarang bahan yang boleh diliha. Mungkin penggunaan cd atau mp3 berguna dalam meningkatkan kemampuan pelajar jenis ini untuk belajar.

Pelajar jenis praktikal
Secara am pelajar jenis ini ialah pelajar yang mampu mengaitkan kefahaman tentang sesuatu konsep pelajaran itu berdasarkan sesuatu pembabitan diri mereka seperti melakukan ujian sains di makmal. Mereka lebih mudah memahami penerangan guru jika mereka dapat melihat dan melakukan perkara yang diterangkan oleh guru itu secara terus pada masa yang sama. Beza pelajar jenis ini daripada pelajar audio dan visua ialah pelajar jenis ini lebih mudah memahami sesuatu berdasarkan sentuhan atau perasaan yang hanya boleh dialami jika mereka sendiri melakukan uji kaji tersebut. Jadikan, pelajar jenis ini harus melakukan sesuatu untuk memahami subjek itu.

Pelajar jenis logikal
Untuk memahami pelajar jenis ini memang mudah yakni pelajar jenis ini mudah memahami sesuatu perkara yang berlandaskan konsep logik. Minda pelajar sebegini menggunakan konsep logik dalam memahami sesuatu perkara itu. Mereka begitu mudah untuk mengaitkan sesuatu terutama jika konsep-konsep yang hendak dibicarakan itu mempunyai perkaitan secara logik yang ketara. Pelajar jenis ini mampu belajar dengan lebih berkesan jika mereka mampu mengkategorikan sesuatu subjek atau tajuk atau maklumat pelajaran mengikut urutan tertentu yang bersesuaian.

Pelajar jenis sosial
Pelajar kategori ini pula begitu peramah dan sering menghadiri kelas kerana mereka memang mampu serta suka untuk mendengar pelbagai pendapat tentang sesuatu subjek itu. Penubuhan kumpulan diskusi merupakan antara cara belajar yang sering diamalkan oleh pelajar sebegini kerana mereka memang mampu untuk berinteraksi dengan begitu mudah. Pelajar jenis ini juga sering menjadi tumpuan pelajar lain dalam usaha untuk mendapatkan maklumat dan nasihat tertentu terutama berkaitan dengan pelajaran. Penggunaan teknik tutor juga berkesan untuk pelajar sebegini kerana mereka memang meminati kaedah pembelajaran ini.


Pelajar jenis bersendirian
Berdasarkan nama sahaja, kita sudah sedia maklum bahawa pelajar jenis ini lebih suka bersendirian ketika belajar. Pelajar jenis ini biasanya berkeyakinan sendiri dan mampu berdikari dalam memahami sesuatu topik itu tanpa memerlukan bantuan pelajar lain. Mereka mamhu memahami sesuatu topik dengan menghabiskan masa bersendirian di tepi sungai, taman dan sebagainya untuk mendapat ketenangan dan suasana belajar sebenar. Mereka tidak suka diganggu ketika belajar dan kalau boleh dibiarkan begtiu sahaja untuk mendapat keselesaan ketika belajar.

Maka, semakin cepat pelajar memahami jenis belajar mereka semakin mudah buat pelajar untuk mencari jalan cara belajar yang paling efektif buat mereka. Fahami diri anda langkah penting untuk berjaya.

No comments: