Tuesday, June 30, 2009

TETAPKAN MATLAMAT ANDA



Menetapkan matlamat

Tindakan membuat penetapan akan matlamat merupakan satu komponen penting untuk seseorang pelajar itu berjaya. Untuk berjaya, pelajar perlulah menetapkan matlamat sebagai satu tanda kejayaan, tindakan yang khusus dan cara untuk mengukur kejayaan tersebut. Semakin jelas akan matlamat yang hendak dicapai itu maka semakin tinggilah peluang seseorang pelajar itu untuk memperolehnya pula.

Untuk berjaya dalam pelajaran di kelas, pelbagai matlamat hendaklah ditentukan dalam pelbagai aspek atau bidang pelajaran. Tindakan membuat pelbagai matlamat ini pula hendaklah dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil seperti matlamat dalam seminggu, sebulan atau enam bulan atau setahun. Usaha memecahkan matlamat sebegini memudahkan seseorang untuk mencapai matlamatnya. Kejayaan kecil yang diperoleh boleh menjadi landasan atau asas yang baik untuk memperoleh kejayaan yang lebih besar atau yang hakiki.

Untuk berjaya dalam pelajaran, matlamat-matlamat yang tertentu mesti dibuat oleh pelajar dalam aspek subjek yang tertentu juga. Adalah menjadi satu kebaikan jika semua matlamat ini boleh dibahagikan kepada beberapa segmen masa yang tertentu seperti matlamat yang ingin dicapai dalam tempoh seminggu, sebulan atau setahun. Pembahagian matlamat sebegini memudahkan pelajar untuk mengetahui pencapaian mereka dalam memperoleh matlamat pendidikan itu. Tindakan sebegini juga membolehkan pelajar memperoleh kejayaan awal sebelum mendapatkan kejayaan yang lebih besar dalam matlamat pendidikan itu. Walau bagaimana pun matlamat yang ditentukan oleh pelajar semuanya akan memberi kesan kepada kehidupan pelajar itu seperti keutamaan belajar selama tiga jam sehari sudah pasti akan menjejaskan masa bersama-sama dengan kawan-kawan pula. Jika perasaan ini ini timbul, pelajar perlu sedar bahawa mereka harus mementingkan matlamat yang lebih besar yakni berjaya dalam pendidikan mereka.

Pada umumnya pelajar lebih mudah membahagikan matlamat mereka kepada tiga aspek utama yakni:
 Matlamat jangka panjang
 Matlamat jangka pendek
 Matlamat jangka sederhana

Tuesday, June 23, 2009

PELAJAR HARUS FAHAM CARA BELAJAR SENDIRI



FAHAMI DIRI SENDIRI

Sebenarnya pelbagai cara belajar boleh digunakan oleh pelajar dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Dalam memahami cara belajar yang sesuai ini, tidak ada sebarang teknik yang betul atau berkesan 100% buat seseorang itu akan berkesan juga kepada orang lain. Malah, kemungkinan gabungan dua cara pembelajaran atau lebih mungkin lebih sesuai dengan seseorang pula. Paling penting di sini ialah pelajar memahami kemampuan diri sebenarnya supaya mereka faham cara pembelajaran yang sesuai buat mereka. Jadi kenapakah memahami cara pembelajaran seseorang itu amat penting diketahui? Mudah sahaja, kemahiran ini menjadikan pelajar mengetahui cara-cara untuk menajamkan lagi kemahiran mereka dalam sesuatu subjek dan perubahan ini boleh dilakukan kerana pelajar juga mengetahui kelemahan yang wujud lalu mengambil tindakan susulan yang tepat.

Sebarang perubahan yang dilakukan mestilah berlandaskan kefahaman tentang kelemahan diri pelajar. Maklumat tentang cara pembelajaran seseorang itu sudah pasti akan memberikan idea kepada pelajar untuk melihat diri lalu membuat perubahan drastik yang tepat dan berkesan. Jadi, pastikan pelajar memahami cara pembelajaran diri mereka untuk memastikan pendidikan mereka mencapai tahap kejayaan yang maksima mungkin.

Baiklah, terdapat beberapa jenis pelajar yang harus diketahui oleh kita semua.

Pelajar jenis visual
Pelajar sebegini lebih mudah memahami sesuatu perkara apabila bahan yang hendak mereka fahami itu dibentangkan atau dihuraikan dalam bentuk visual seperti nota lengkap, gambar menerusi projektor, tulisan di papan putih dan sebagainya. Pelajar jenis ini suka mengambil nota dengan melukis sesuatu mengikut kefahaman mereka apabila guru menerangkan konsep atau idea utama. Tindakan pelajar melukis dan membuat rajah ini menjadikan pelajar ini lebih mudah faham tentang sesuatu perkara itu. Semakin banyak rajah atau lukisan berkaitan yang dihasilkan semakin jelaskan kefahaman pelajar itu kelak.

Pelajar jenis audio
Biasanya pelajar jenis ini begitu mudah berinteraksi dengan guru di dalam kelas kerana mereka begitu mudah untuk memahami semua penerangan guru hanya dengan mendengar suara mereka sahaja. Interaksi dengan guru dan rakan-rakan lebih jelas terutama dengan penggunaan konsep perbualan. Mereka juga mudah belajar dengan hanya menggunakan kaset atau cd yang berasaskan suara sahaja. Ringkasnya, pelajar jenis ini lebih mudah memahami sesuatu perkara dengan hanya perlu mendengar sahaja tanpa ada sebarang bahan yang boleh diliha. Mungkin penggunaan cd atau mp3 berguna dalam meningkatkan kemampuan pelajar jenis ini untuk belajar.

Pelajar jenis praktikal
Secara am pelajar jenis ini ialah pelajar yang mampu mengaitkan kefahaman tentang sesuatu konsep pelajaran itu berdasarkan sesuatu pembabitan diri mereka seperti melakukan ujian sains di makmal. Mereka lebih mudah memahami penerangan guru jika mereka dapat melihat dan melakukan perkara yang diterangkan oleh guru itu secara terus pada masa yang sama. Beza pelajar jenis ini daripada pelajar audio dan visua ialah pelajar jenis ini lebih mudah memahami sesuatu berdasarkan sentuhan atau perasaan yang hanya boleh dialami jika mereka sendiri melakukan uji kaji tersebut. Jadikan, pelajar jenis ini harus melakukan sesuatu untuk memahami subjek itu.

Pelajar jenis logikal
Untuk memahami pelajar jenis ini memang mudah yakni pelajar jenis ini mudah memahami sesuatu perkara yang berlandaskan konsep logik. Minda pelajar sebegini menggunakan konsep logik dalam memahami sesuatu perkara itu. Mereka begitu mudah untuk mengaitkan sesuatu terutama jika konsep-konsep yang hendak dibicarakan itu mempunyai perkaitan secara logik yang ketara. Pelajar jenis ini mampu belajar dengan lebih berkesan jika mereka mampu mengkategorikan sesuatu subjek atau tajuk atau maklumat pelajaran mengikut urutan tertentu yang bersesuaian.

Pelajar jenis sosial
Pelajar kategori ini pula begitu peramah dan sering menghadiri kelas kerana mereka memang mampu serta suka untuk mendengar pelbagai pendapat tentang sesuatu subjek itu. Penubuhan kumpulan diskusi merupakan antara cara belajar yang sering diamalkan oleh pelajar sebegini kerana mereka memang mampu untuk berinteraksi dengan begitu mudah. Pelajar jenis ini juga sering menjadi tumpuan pelajar lain dalam usaha untuk mendapatkan maklumat dan nasihat tertentu terutama berkaitan dengan pelajaran. Penggunaan teknik tutor juga berkesan untuk pelajar sebegini kerana mereka memang meminati kaedah pembelajaran ini.


Pelajar jenis bersendirian
Berdasarkan nama sahaja, kita sudah sedia maklum bahawa pelajar jenis ini lebih suka bersendirian ketika belajar. Pelajar jenis ini biasanya berkeyakinan sendiri dan mampu berdikari dalam memahami sesuatu topik itu tanpa memerlukan bantuan pelajar lain. Mereka mamhu memahami sesuatu topik dengan menghabiskan masa bersendirian di tepi sungai, taman dan sebagainya untuk mendapat ketenangan dan suasana belajar sebenar. Mereka tidak suka diganggu ketika belajar dan kalau boleh dibiarkan begtiu sahaja untuk mendapat keselesaan ketika belajar.

Maka, semakin cepat pelajar memahami jenis belajar mereka semakin mudah buat pelajar untuk mencari jalan cara belajar yang paling efektif buat mereka. Fahami diri anda langkah penting untuk berjaya.

Monday, June 15, 2009

PELAJAR PERLU TAHU CARA MENGAMBIL NOTA DI KELAS?


Cara mengambil nota

Cara mengambil nota di kelas juga penting buat pelajar dan biasanya pelajar tidak suka menulis nota terutama setelah belajar beberapa jam di kelas. Subjek yang tidak diminati oleh mereka juga akan menjadi subjek yang paling tidak lengkap notanya. Sebenarnya, nota yang diberikan oleh guru di dalam kelas boleh menjadi satu garis panduan kepada pelajar untuk memastikan mereka mempelajari semua aspek penting itu. Ringkasnya, semua nota guru itu menjadi tajuk-tajuk penting yang harus diberi penekanan oleh pelajar apabila mereka membuat ulang kaji kelak.

Biasanya nota yang disediakan oleh pelajar itu perlulah:

 Jelas dan tepat
Pengambilan nota yang jelas dan tepat memudahkan urusan untuk mengulangkaji pada masa hadapan. Biasanya ketika di dalam kelas, pelajar sememangnya faham dengan semua penerangan guru lalu membuat kesimpulan bahawa mereka tidak perlu mengambil nota perkara tersebut. Akibat selang beberapa minggu kemudian pelajar akan lupa tentang penerangan guru itu dan cuba menyemak nota mereka tetapi gagal untuk menemukan sebarang maklumat untuk memberikan kefahaman kepada pelajar akan kekeliruan yang timbul tadi. Maka, pengambilan nota yang jelas dan tepat mampu memberikan pelajar satu pemahaman yang jitu tentang subjek yang dibincangkan. Nota ini juga memberikan pelajar satu keyakinan yang konkrit akan bahan pembelajaran itu disimpan dalam minda mereka. Kewujudan nota juga memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk membuat rujukan semula atau mengkaji semula subjek yang sudah dipelajari itu secara sistematik pada masa hadapan.

 Bersiap sedia
Biasanya tidak ramai pelajar yang datang ke kelas dengan persediaan tertentu. Maksud saya, pelajar datang ke kelas tanpa membaca dahulu bahan yang akan diterangkan oleh guru di rumah mereka pada malam sebelumnya. Malah, ada pelajar yang langsung tidak tahu subjek apakah yang akan diterangkan oleh guru pada hari tersebut? Persiapan awal menjadikan pelajar mengetahui subjek yang akan diajar kerana semua bab dalam setiap subjek sudah disusun supaya mempunyai kesinambungan yang tertentu. Jika seseorang pelajar itu sudah membuat persiapan awal di rumah sudah pasti pelajar itu mampu mengambil nota dengan lebih baik sebab di dalam mindanya sudah ada kefahaman awal akan subjek yang akan diajar oleh guru itu nanti. Pada masa yang sama persiapan awal memboleh pelajar memikirkan soalan-soalan atau kemungkinan-kemungkinan aspek yang tidak difahaminya lebih awal lalu mampu membuat pertanyaan yang lebih berkualiti kepada guru ketika guru tersebut selesai menerangkan sesuatu topik tersebut.

 Tumpuan yang jitu
Baiklah, jika pelajar memang mahukan nota yang berkualiti, pelajar juga harus sedar bahawa mereka perlulah mengatasi semua halangan atau gangguan yang boleh timbul lalu menjejaskan tumpuan mereka untuk memberi fokus dan menuli nota. Pelajar perlu pastikan bahawa mereka duduk di bahagian meja hadapan kelas atau bahagian yang paling mudah dan jelas untuk mendengar penerangan guru anda. Pastikan juga pelajar tidak duduk bersama-sama pelajar yang suka membuat bisng atau tidak memberi perhatian di dalam kelas kerana semua ini akan menjejaskan tumpuan anda untuk menulis nota yang efektif.

 Susun atau kemaskinikan nota anda
Satu kelemahan nota pelajar ialah nota mereka tidak tersusun. Maksud saya biasanya nota pelajar tidak mempunyai tarikh, subjek, topik dan sebagainya yang mampu menjadi bahan rujukan atau pengenalan kepada nota itu. Semua maklumat sebegini juga mampu memudahkan pelajar untuk menyusun nota mereka mengikut keutamaan atau tarikh yang difikirkan bersesuaian dengan pelajar terbabit.

 Membaca nota itu
Baca nota itu seberapa cepat yang mungkin. Tindakan membaca nota ini dengan segera membolehkan pelajar membuat sebarang pembetulan jika ada kesilapan yang dilakukan ketika menulis nota itu atau membuat penambahan di bahagian yang perlu. Dalam masa yang sama pembacaan segera ini juga memberikan keyakinan kepada pelajar bahawa mereka sudah memahami subjek itu dengan baik dan mampu untuk mengikuti kelas yang berikutnya dengan lebih berkeyakinan lagi.

 Buat pertanyaan?
Sudah pasti ketika mengambil nota itu, pelajar akan mendapati bahawa mereka tidak memahami beberapa perkara, jadi pastikan pelajar membuat tanda soalan atau menulis pertanyaan dalam nota yang membuatkan pelajar berfikir sejenak itu tadi. Langkah ini membolehkan pelajar untuk merujuk bahagian itu kepada guru untuk mendapatkan penjelasan atau pelajar boleh membuat rujukan dengan kawan atau bahan lain untuk mendapatkan jawapan kepada kekeliruan yang timbul ketika mengambil nota tersebut.

Pelajar yang mampu membuat nota yang baik biasanya akan menjadi pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan. Sikap suka mengambil nota juga akan menjadikan diri pelajar itu lebih bersedia dalam mengharungi kehidupan masa depan yang amat mementingkan aspek pengambilan nota terutama perkara-perkara penting dalam kerjaya kelak.

Wednesday, June 10, 2009

Pelajar Harus Bijak Memilih Sahabat Sebenar...


BIJAK MEMILIH SAHABAT

Kejayaan seseorang pelajar itu banyak bergantung juga kepada keupayaannya untuk memilih barisan rakan yang bersesuaian dengan diri mereka terutama dalam aspek pelajaran. Bukan mudah untuk memiliki rakan yang seiringan dengan kita terutama dalam kehidupan pelajar yang penuh dengan peperiksaan ini. Namun, jika pelajar bijak, pasti rakan yang dipilih merupakan rakan yang mampu untuk membantu pelajar untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Salah satu kriteria utama untuk memilih rakan ialah mereka yang mempunyai pandangan tentang pelajaran yang serupa atau hampir serupa dengan anda. Usaha mencari pelajar yang mempunyai pandangan positif terhadap pelajaran mereka juga bukanlah sesuatu yang sukar terutama jika seseorang itu tahu perkara yang harus diberikan perhatian. Antara pengukur rakan yang positif ialah:

 Semangat belajar yang tinggi. Adakah pelajar ini memaparkan semangat untuk belajar yang tinggi? Adakah dia selalu mengutamakan pelajarannya berbanding aspek yang lain.

 Komitmen. Adakah pelajar tersebut sanggup melakukan komitmen yang serupa seperti anda dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran masing-masing?

 Sikap bertanggungjawab. Adakah pelajar terbabit sanggup untuk menerima tanggung jawab dalam sesuatu tindakan atau perkara yang telah dipersetujui bersama-sama terutama dalam aspek pelajaran? Adakah pelajar itu jenis yang berani menerima tanggung jawab jika berlakunya sesuatu perkara dalam persahabatan kelak?

 Kemahiran yang unik. Bagaimana dengan kemahiran pelajar itu dalam sesuatu subjek? Adakah pelajar itu merupakan pelajar terbaik sekolah atau terbaik dalam sesuatu pelajaran yang mungkin agak lemah buat anda pula?

 Konsep kejayaan dalam pelajaran. Adakah pelajar yang akan dipilih sebagai kawan itu begitu focus terhadap kejayaan yang ingin dicapainya dalam pelajaran? Adakah pelajar itu menganggap kejayaan dalam pelajaran merupakan sesuatu yang penting untuk dikecapinya?

 Seronok belajar bersama-sama. Bagaimana dengan konsep seronok buat pelajar itu? Adakah pelajar itu jenis yang berasa seronok untuk didampingi ketika belajar? Jenis yang mudah berjenaka terutama ketika belajar kadangkala penting untuk memastikan suasana belajar terus dinikmati dengan baik.

 Ketahanan diri yang tinggi. Usaha untuk mencapai kejayaan memerlukan masa yang lama dan sudah pasti pelbagai masalah akan wujud. Adakah pelajar terbabit mampu untuk mengharungi bersama-sama sebarang masalah yang bakal timbul sepanjang komitmen bersama untuk berjaya dalam pelajaran?

Sudah pasti tidak akan dapat manusia yang mampu menepati semua syarat-syarat di atas dengan sepenuhnya tetapi berdasarkan syarat yang diberikan di atas pelajar mempunyai satu garis panduan yang boleh digunakan untuk menilai dan membuat keputusan mereka dalam aspek pemilihan sahabat ini. Kewujudan garis panduan sebegini juga mampu mengurangkan kesilapan yang bakal dilakukan pada masa hadapan.

Namun, perkara yang menyedihkan ialah banyak pelajar masih tidak melihat aspek pemilihan rakan mereka ini sebagai sesuatu yang penting. Kegagalan untuk memilih rakan yang betul menyebabkan banyak pelajar menghabiskan masa untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam sebarang hubungan persahabatan mereka itu. Situasi ini menyebabkan pelajar gagal untuk memberikan perhatian yang sepenuhnya akan tanggung jawab mereka terhadap pelajaran. Paling mengecewakan adalah banyak masalah ini merupakan masalah yang tidak ada hubung kait dengan pelajaran tetapi lebih banyak berunsur emosi atau masalah kebudak-budakan yang mampu dielakkan jika pelajar lebih berwaspada dalam memilih sahabat mereka.

Thursday, June 4, 2009

FIKIR BAK GURU ANDA JIKA MAHU BERJAYA DALAM PELAJARAN


FIKIR BAK GURU ANDA

Pelajar yang bijak ialah pelajar yang mampu berfikir bak gurunya sendiri. Kemampuan untuk memikirkan perkara yang serupa seperti guru anda menjadikan pelajar itu memahami keperluan pembelajarannya dengan lebih baik. Kemahiran ini memudahkan pelajar untuk memikirkan lebih awal akan pengajaran yang bakal diberikan oleh gurunya itu lantas memudahkan pemahamannya.

Ada pelajar yang akan menganggap aspek ini sesuatu yang remeh tetapi percayalah banyak pelajar tidak menerima pengajaran yang sepenuhnya kerana tiadanya kefahaman akan cara pengajaran guru mereka. Semakin mendalam kefahaman pelajar akan guru mereka semakin mudah baut pelajar itu untuk mengikuti semua pengajaran di dalam kelasnya.

Persoalan yang timbul ialah apakah perkara yang seharusnya difikirkan oleh pelajar untuk menjadikan diri mereka mampu berfikir bak guru mereka? Untuk memahami perkara ini, pelajar harus bijak meneliti kelakuan seseorang guru itu ketika mengajar. Biasanya seorang guru akan membuat beberapa perkara yang serupa. Antara perkara yang serupa itu ialah:

• Guru akan memulakan pengajaran mereka dengan memberikan penekanan perkara yang hendak mereka terangkan dan yang hendak dicapai pada akhir kelas itu. Pengetahuan ini membolehkan pelajar memahami kepentingan pelajaran pada hari itu. Perkara yang hendak diterangkan dan dicapai itu merupakan aspek terpenting dalam mana-mana pengajaran guru.

• Perkara kedua ialah dalam mana-mana pengajaran guru akan memberikan penekanan terhadap sesuatu aspek pelajaran itu. Penekanan ini boleh diketahui menerusi beberapa kaedah seperti:

(i) Guru memberikan penekanan suara terhadap bahagian itu
(ii) Guru sering mengulang bahagian itu
(iii) Guru menerangkan panjang lebar bahagian itu
(iv) Guru mengaitkan bahagian pelajaran itu dengan contoh-contoh soalan tahun lepas
(v) Guru memberikan latihan yang lebih berkaitan dengan bahagian pelajaran tertentu itu
(vi) Guru mengakhiri pengajaran dengan memberikan beberapa aspek penting pelajaran yang diajarnya pada hari itu

• Pelajar juga harus bijak memikirkan gaya pengajaran seseorang guru itu. Ada sesetengah guru yang tidak suka diganggu ketika beliau sedang memberikan penerangan tetapi ada juga yang tidak kisah. Ada juga guru yang lebih suka menerangkan sesuatu dengan gaya berlawak dan ada juga yang terlalu serius. Penting di sini ialah pelajar memahami gaya guru itu berfikir dan bertindak untuk memudahkan mereka menerima pelajaran secara optimum mungkin tanpa ada sebarang masalah yang timbul.

Biasanya kegagalan pelajar menerima pelajaran dengan baik ialah mereka gagal untuk melihat semua aspek ini lalu melakukan sesuatu di luar kaedah pengajaran guru dan menimbulkan konflik pula. Pelbagai masalah akan timbul lantaran guru dan pelajar tidak berinteraksi dengan baik yang menyebabkan timbul persepsi negative pada pihak pelajar dan guru akan kedudukan masing-masing.