Sunday, May 17, 2009

Menulis esei atau karangan dikatakan membosankan...


Menulis dianggap bosan

Salah satu sebab pelajar gagal menguasai kemahiran menulis kerana pelajar menganggap penulisan itu sesuatu yang membosankan. Masa yang panjang untuk merangka sesuatu karangan dikatakan lebih berguna untuk membuat latihan sains atau matematik kerana latihan dua subjek itu lebih jelas kesudahannya iaitu mereka boleh mendapat jawapan yang sahih. Berbeza dengan menulis yang kadangkala banyak bergantung kepada keperluan tajuk dan cara penulisan yang menyebabkan sesuatu ayat itu walaupun dianggap baik tetapi tidak memenuhi keperluan peperiksan pula. Inilah yang menyebabkan pelajar berasa bosan.

Bukan sahaja aspek masa yang panjang diperlukan untuk menulis dan pemberian markah yang agak subjektif, bidang ini juga tidak digemari kerana bidang ini lebih banyak menumpukan aspek dalaman seseorang. Ya, aspek perasaan dan naluri manusia. Subjek sains diminati kerana ada banyak uji kaji yang mampu mencelikkan mata pelajar yang sedang mengantuk. Begitu juga dengan Matematik yang penuh dengan kiraan dan formula tetapi tidak dalam penulisan.

Penulisan hanya dianggap menarik apabila seseorang pelajar itu sudah mampu menguasai sesuatu tahap atau sudah ada keyakinan bahawa dia sudah boleh menulis dengan baik. Ketika itulah pelajar akan suka dan sering menulis. Selagi perasaan yakin akan kemampuan untuk menulis itu belum wujud selagi itulah pelbagai alasan akan muncul dalam diri pelajar terbabit. Capai dahulu perasaan yakin untuk menulis sedikit demi sedikit sebelum anda mampu menulis bak profesional.

No comments: