Sunday, May 24, 2009

Belajar Perlukan Fokus Terbaik


BERI PERHATIAN ATAU FOKUS

Oleh: noor azman mahat
Emel: azmanukm@gmail.com

Biasanya sesuatu perkara yang dilakukan oleh pelajar itu akan menjadi lebih baik jika pelajar memberi tumpuan atau perhatian atau fokus yang betul. Fokus merujuk penumpuan perhatian yang betul ketika melakukan sesuatu lalu kegagalan atau kehilangan fokus menyebabkan pelajar akan gagal untuk melaksanakan sesuatu perkara itu dengan baik.

Pertama kita semua harus sedar bahawa fokus bukanlah sesuatu tindakan yang boleh dihasilkan menerusi paksaan. Sebarang usaha yang dilakukan untuk memaksa pelajar memberi tumpuan pasti akan menimbulkan kegagalan. Fokus timbul secara sendiri dalam diri pelajar setelah mereka menyedari beberapa aspek fokus itu sendiri dan kepentingannya dalam pelajaran mereka.

Menariknya adalah ketika fokus tidak boleh dipaksa perasaan memberikan tumpuan ini mudah sekali untuk ditewaskan atau digagalkan daripada tersemai dalam diri pelajar. Oleh itu, fokus yang dimaksudkan dalam buku ini ialah tempoh tidak memberikan fokus itu perlu dikurangkan. Semakin kurang tempoh tidak memberi perhatian dicapai makan semakin baguslah fokus pelajar itu secara tersiratnya. Pemahaman ini penting kerana pemberian 100% fokus terhadap pelajaran merupakan sesuatu yang sukar untuk dicapai.

Jika terlalu banyak kesusahan untuk memahami maka kuranglah rasa seronok belajar lalu menimbulkan stres kepada pelajar. Begitu juga jika pelajaran itu terlalu mudah lebih banyak rasa seronok timbul tetapi fokus juga mungkin kurang diperoleh. Oleh itu, fokus yang hendak dicapai di sini bukanlah 100% tetapi tempoh masa berkhayal atau tidak memberi tumpuan itu dipendekkan setiap kali sehingga kadarnya terus menurun mengikut masa.

Ketinggian tahap fokus juga banyak bergantung kepada penilaian awal pelajar. Saya yakin semua pelajar akan menilai guru-guru mereka. Ada yang meminati guru itu dan ada pula yang tidak meminati sesetengah guru. Penilaian awal yang negatif sebegini menyebabkan pelajar gagal memberikan tumpuan ketika guru tersebut mengajar. Malah, penilaian awal yang menganggap subjek atau topik subjek itu tidak penting juga menyebabkan pelajar tidak mampu memberikan perhatian yang secukupnya terhadap subjek tersebut. Jadi, pastikan pelajar tidak membuat penilaian awal terhadap sesuatu perkara itu baik guru, subjek, dan topik yang hendak dipelajari.

Ada tiga bahagian penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperoleh fokus yang baik buat pelajar. Bahagian itu ialah fokus terhadap komunikasi, fokus pendengaran dan fokus istilah penting.

• Fokus komunikasi bermaksud pelajar mendengar penerangan yang diberikan oleh guru itu dengan baik. Pelajar tidak harus memberikan penilaian awal terhadap penerangan guru itu seperti menganggap penerangan itu membosankan, tidak penting atau tidak suka akan peribadi guru itu. Pelajar harus fokus komunikasi guru itu dengan sebaiknya.

• Fokus aspek pendengaran. Semua maklumat yang diberikan oleh guru itu hendaklah didengar dengan baik. Pendengaran pelajar akan lebih positif jika sanggup menerima semua informasi yang diberikan oleh guru itu tanpa membuat pemilihan tertentu.

• Fokus istilah penting merujuk setiap penerangan guru mesti ada bahagian yang diberi penekanan olehnya. Guru itu mungkin sering mengucapkan perkara yang saya atau memberitahu betapa kerapnya soalan sebegini ditanya dalam peperiksaan.

Biasanya dalam memberi fokus ini wujudnya gangguan-gangguan fokus. Sekiranya pelajar sering gagal memberi fokus atau masa berkhayal terlalu lama maka pelajar dikatakan gagal untuk memahami atau menyelesaikan konflik keutamaan dalam dirinya. Ketika di dalam kelas, fokus hendaklah diberikan kepada pengajaran guru tetapi pelajar yang menganggap pelajaran guru itu tidak penting sudah pasti tidak mampu memberikan fokus yang sewajarnya. Pelajar tidak memahami keutamaan pelajaran itu.

Kejayaan memberikan fokus yang lama ialah kemampuan untuk memahami semua penerangan guru secara mendalam dan menyeluruh. Lantaran itu, pelajar akan lebih mudah untuk menyelesaikan sebarang soalan yang diberikan oleh guru.

Oleh itu salah satu cara yang mudah untuk menimbulkan fokus dalam diri pelajar ialah memahami erti keinginan yang wujud. Keinginan inilah yang mampu memberikan pelajar kemampuan untuk memberi fokus. Keinginan untuk belajar, keinginan untuk memahami subjek itu, keinginan untuk berjaya menyelesaikan soalan yang diberiken oleh guru dan kemungkinan keinginan untuk berjaya dalam peperiksaan akan datang. Semakin kurang keinginan itu semakin lamalah fokus yang mampu diberikan oleh pelajar.

No comments: