Sunday, May 31, 2009

Apakah Definisi Belajar Buat Pelajar


Apakah Definisi Belajar Pelajar

Biasanya dalam sebarang kejayaan melakukan sesuatu definisi perkara yang hendak dilakukan itu perlulah betul. Maknanya pelajar harus menyedari erti belajar itu pada pandangan mereka. Kegagalan untuk memahami erti belajar inilah yang menyebabkan banyak pelajar mengambil masa yang lama untuk berjaya dalam pelajaran atau ada yang terus gagal untuk menguasai pelajaran mereka.

Saya sering bertanya kepada pelajar tentang definisi belajar setiap kali berpeluang berbual dengan mereka. Dan pelbagai tafsiran saya terima daripada yang tidak logik sehinggalah yang menarik minat saya. Kemungkinan juga kegagalan pelajar memberikan jawapan terhadap pertanyaan ini berkaitan dengan kegagalan mereka untuk memahami maksud pertanyaan saya tadi. Jadi, sekali lagi ini membuktikan betapa banyak pelajar yang masih gagal memahami definisi belajar walaupun mereka sudah memasuki alam persekolahan bertahun-tahun laman.

Jawapan yang biasa saya terima tentang definisi belajar buat pelajar ialah:

• Belajar ialah perkara yang mesti saya buat dan perkara yang tidak boleh buat
• Belajar ialah satu pencapaian
• Belajar ialah satu obligasi atau tugas pelajar
• Belajar bermakna menyiapkan kerja sekolah
• Belajar boleh jumpa ramai kawan
• Belajar seronok sebab tidak perlu jumpa ibu bapa selalu
• Belajar ialah perkara yang disuruh oleh ibu bapa

Kalau kita kaji kebanyakan jawapan yang diberikan ini tidak melahirkan perasaan sebenar seseorang pelajar itu terhadap definisi belajarnya. Maksud saya pelajar masiht idak memahami bahawa belajar memerlukan satu perasaan yang mendalam daripada sanubari mereka sendiri. Belajar harus melibatkan diri mereka sendiri tetapi jika kita lihat kebanyakan jawapan yang diberikan sebagai contoh di atas banyak yang dipaksakan terhadap pelajar itu. Maknanya pelajar belajar atas paksaan bukan kerelaan mereka.

Pada pandangan saya belajar itu harus melibatkan tiga makna yang penting yakni:

• Tugas pelajar
• Prestasi pelajar
• Keseronokan pelajar

Tiga komponen ini harus ada dalam definisi belajar setiap pelajar kerana tanpa ketiga-tiga ini belajar hanya merupakan sesuatu yang rutin tanpa menghasilkan sebarang impak yang ketara dalam kehidupan pelajar. Tanpa definisi yang tepat, belajar hanyalah sesuatu yang lumrah sama seperti deruan angin yang memang wujud tetapi jika tidak digunakan dengan sebaiknya hanyalah angin yang bertiup begitu sahaja.

Belajar merupakan tugas setiap pelajar. Sudah menjadi lumrah bahawa belajar atau memasuki alam persekolahan harus dialami oleh semua pelajar kerana mereka merupakan golongan muda. Tugas pelajar ialah untuk belajar bukannya bekerja, bukannya duduk melepak, dan sudah pasti bukannya terbabit dengan gejala negatif. Pelajar harus belajar kerana itu tugas mereka sama seperti tentera yang tugasnya menjaga keamanan negara tanpa memikirkan kesan sampingan.

Belajar juga melibatkan prestasi pelajar yakni setiap pelajar harus sedar bahawa mereka mempunyai tahap-tahap kelulusan yang perlu dihadapi dan diatasi. Setiap prestasi itu mestilah menunjukkan peningkatan yang walaupun sedikit tetapi realistik. Saya pernah bertemu dengan seorang pelajar yang ketika Tingkatan 4 langsung tidak boleh membaca lalu setiap hari sabtu saya memintanya datang berjumpa dengan saya di kelas dan saya mengajarnya membaca. Memang beliau tidak mendapat keputusan A dalam peperiksaan SPM buat bahasa Melayunya tetapi beliau sudah boleh membaca dan menulis dengan baik kini. Itu prestasi yang saya maksudkan. Kejayaan yang boleh diukur oleh setiap pelajar.

Belajar juga harus diisikan dengan rasa seronok. Konsep seronok di sini bukan bermaksud seronok ketawa di kedai kopi atau melihat program lucu tetapi seronok dalam erti kata setiap pelajaran yang difahami itu membawa satu makna dalam kehidupan pelajar. Pelajaran yang dianjar oleh guru mungkin memberikan maklumat tentang keadaan semasa lalu pelajar berasa seronok kerana dapat melihat impak yang sebenarnya.

Jika pelajar memahami semua konsep di atas, maka definisi belajar pelajar berada dalam landasan yang betul.

jadi, terus menulis.

No comments: